Thursday, June 11, 2009

Kualiti Udara Semakin Teruk


Fenomena ini mungkin sudah sampai ke pengetahuan ramai dalam masa beberapa hari kebelakangan ini. Malaysia terutama di Semenanjung Malaysia telah dilanda fenomena jerebu di tahap sederhana. Keadaan udara di bandar-bandar utama kelihatan amat teruk dari pandangan mata. Banyak mercu tanda dan bangunan di bandar telah ditelan jerebu.

Secara rekodnya, Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicatatkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di kebanyakan bandar-bandar utama menunjukkan angkanya berada dalam tahap sederhana. Kecuali di Pelabuhan Klang yang mencatatkan bacaan 125 pada jam 5 petang tadi. Angka itu berada dalam tahap 'TIDAK SIHAT'. Kebanyakan lokasi lain menggambarkan tahap sederhana, iaitu sekitar bacaan 60-90. Tetapi secara keseluruhannya, bacaan IPU semakin meningkat lalu menunjukkan udara di negara kita semakin kotor. Tidak mustahil untuk meramal bahawa hari yang mendatang akan memaparkan permandangan yang lebih teruk daripada hari ini. Indeks Pencemaran Udara (IPU) boleh dilihat dengan melayari laman web Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, klik di sini. Beberapa titik-titik panas juga telah di kesan di beberapa tempat di Malaysia.

Jerebu melanda negara kita secara berleluasa. Dengan kes Influenza A (H1N1) masih belum kebah dan tidak dapat diselesaikan lagi, nampaknya negara kita diancam lagi dengan bencana alam sebegini. Jika virus H1N1 dikatakan virus pembawa dari luar negara sehingga menyaksikan sejumlah 11 kes dikesan dalam negara setakat ini, tidak keterlaluan untuk diperkatakan bahawa jerebu yang menyelubungi ruang udara Malaysia berpunca daripada pembakaran terbuka dari negara jiran seperti Indonesia. Sebenarnya, punca kejadian ini juga tidak terkecuali untuk menyenaraikan asap perindustrian dan kenderaan yang dilepaskan secara berlebihan sebagai penyebabnya. Keadaan kualiti udara yang tidak sihat itu juga disebabkan oleh kandungan pencemar ozon di permukaan bumi yang tinggi dan sebatian organik meruap yang berpunca daripada pelepasan kenderaan bermotor dan industri, seperti yang diterangkan tadi.



Secara definisinya, jerebu merupakan fenomena atmosfera yang berlaku apabila debu, asap dan zarah pencemaran lain mengaburi kejelasan langit. Fenomena ini biasanya terjadi jika zarah, debu dan asap berkumpul pada hari yang kering. Zarah-zarah kecil ini berkumpul di paras rendah atmosfera dan akan mengaburi pandangan dan mungkin menyebabkan masalah pernafasan. Jerebu tebal juga dikenali sebagai asbut.

Tahap kesihatan manusia juga akan terjejas kerana kejadian ini melibatkan sistem pernafasan manusia. Manusia akan jatuh sakit dan terkena bermacam-macam penyakit jika menyedut dan menghembus udara kotor ini. Ditambah pula dengan ancaman virus Influenza A yang belum diatasi sepenuhnya lagi, malah makin bertambah walaupun dikawal rapi. Maka, ancaman terbaru ini menyulitkan amalan kehidupan warga bandar kerana bukan sahaja mengganggu sistem pernafasan tetapi mengecilkan jarak penglihatan seseorang.

Peramal cuaca dari Jabatan Meteorologi mengatakan fenomena ini akan mengakibatkan musim El Nino. El Nino akan menyebabkan keadaan kemarau dengan mendatangkan cuaca panas terik dan kering, berbanding musim La Nina yang membawa angin taufan dan hujan yang banyak sehingga menyebabkan tengkujuh. Fenomena ini dijangka akan berlaku dari bulan ini sehingga bulan September nanti. Rakyat kita dikehendaki bersedia dengan situasi ini dengan bantuan daripada pihak kerajaan yang prihatin.

Di samping itu, kita sebagai penduduk Bumi tidak boleh berdiam diri dengan melihat fenomena ini sedang 'asyik' melanda. Setiap orang patut menginsafi tindakan masing-masing dengan tidak sewenang-wenangnya melakukan pembakaran terbuka dan melepaskan asap kenderaan yang kotor secara keterlaluan. Jika dapati kualiti udara di tempat tertentu itu agak teruk, kawal pernafasan dan seelok-eloknya pakai topeng muka jika mahu keluar ke bandar.

Berhati-hati...!!!!

0 comments: