Wednesday, June 10, 2009

BI Wajib Lebih Munasabah Daripada PPSMI

Pelbagai pihak menyokong langkah mewajibkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI) untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh, dan menyifatkan usaha itu lebih munasabah dilaksanakan berbanding dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Bagaimanapun, sebaiknya kajian terperinci dapat dilakukan supaya hasrat murni meningkatkan penguasaan bahasa kedua itu dapat dilaksanakan secara tersusun dan membawa manfaat kepada semua pelajar

Langkah itu dilihat sebagai satu usaha ke arah meningkatkan kualiti pelajar dari segi penguasaan Bahasa Inggeris, selain usaha transformasi drastik dalam sistem pendidikan negara. Namun, perkara yang harus ditekankan bagi memastikan cadangan berkenaan membuahkan hasil diharapkan ialah meningkatkan kualiti guru yang mengajar mata pelajaran itu.

Untuk rekod, ketika ini calon SPM tidak disyaratkan lulus Bahasa Inggeris walaupun mata pelajaran itu diajar sebagai mata pelajaran di sekolah, selain diiktiraf sebagai bahasa kedua di negara ini, namun semua calon dikehendaki lulus dalam Bahasa Malaysia sebelum dikeluarkan sijil penuh.

Kerajaan perlu melihat beberapa perkara sebelum mengambil langkah berkenaan, termasuk membuat kajian keberkesanan bahasa Inggeris yang dilaksanakan selama ini di sekolah. Kerajaan juga perlu meneliti kualiti tenaga pengajar bahasa Inggeris dan kemudahan disediakan serta pelajar juga perlu diberi peluang untuk memperbaiki keputusan mereka sekiranya gagal dalam mata pelajaran itu.

Yang pasti, Kementerian Pelajaran tidak akan melaksanakan langkah itu secara terburu-buru kerana sebarang perubahan dalam sistem pendidikan negara memerlukan kajian mendalam. Dalam konteks lain pula, guru perlu dipastikan bersedia sepenuhnya dalam perubahan ini bagi memastikan akhirnya pelajar mendapat manfaat secara menyeluruh.

Banyak pihak berharap cadangan itu mestilah disusuli dengan persediaan dari segi guru yang berkualiti selain kakitangan sokongan dan alat bantuan mengajar yang mencukupi bagi memastikan tidak timbul masalah apabila ia dilaksanakan. Kementerian juga harus mengambil langkah berhati-hati sebelum melaksanakan cadangan itu kerana tujuan pelaksanaannya tidak akan tercapai tanpa persediaan infrastruktur yang mencukupi.

Dilihat pula dalam pengisian subjek ini, Bahasa Inggeris sekarang diajar tanpa penekanan kepada tatabahasa, sebaliknya hanya mempelajari `Communicative English'. Mata pelajaran ini diajar menggunakan kaedah `Communicative English' bagi memantapkan penggunaan bahasa kedua itu di kalangan pelajar. Sebenarnya kaedah `Communicative English' telah digunakan sejak awal 1980-an bagi menggantikan kaedah pembelajaran tatabahasa, sekali gus meningkatkan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perhubungan. Tetapi kaedah sedia ada berbeza dengan kaedah terdahulu yang menekankan pemahaman tatabahasa berbanding komunikasi, tetapi kaedah kini adalah sebaliknya dengan menekankan komunikasi. Perkara ini juga perlu diambil perhatian.

Secara kesimpulannya, ramai pihak dari pelbagai agensi dan pertubuhan menyokong cadangan pelaksanaan wajib lulus BI dalam SPM berbanding meneruskan pelaksanaan PPSMI dalam dasar pendidikan negara, yang sudah dianggap seperti salah satu daripada agenda penting negara.

4 comments:

haja said...

ni dah kali kedua saya ke sini
jangan jemu ke blog saya ok

Fireroll said...

ye ke...
mana tau...
dah ko xtinggalkan jejak pun sebelum ni...
aku akan selalu menjenguk blog kawan2....

awang semutar said...

Hapuskan dulu PPSMI, kemudian baru kita cerita hal sama ada wajib lulus BI atau tidak dalam SPM. Usah permainkan rakyat dengan isu sebegini. Nanti rakyat muak dan jelak.

Fireroll said...

setuju dengan awang semutar...
satu perubahan dasar perlu diketengahkan...
lagipun kedua-dua isu ini melibatkan bahasa inggeris...
mari kita mantapkan bahasa inggeris dengan subjeknya dulu, usah sibuk nak belajar subjek lain dlm bi...
jika dapat lihat hasil positif, baru kita fikirkan tentang kerelevenan ppsmi tu...