Sunday, July 12, 2009
Misteri Kematian & Pengebumian Jacko
Michael Jackson telah meninggal dunia pada 26 Jun lepas, berita kematiannya diketahui secara mengejut kerana sebelum itu beliau tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda penyakit yang ketara kepada umum. Jasadnya sudah dibedah siasat dua kali atas permintaan keluarganya yang ingin mengetahui punca kematian sebenar, sehinggakan otak MJ terpaksa dikeluarkan dari jasadnya untuk menjalani ujian sebagai proses mengetahui kesan pengambilan ubat selama ini. Oleh itu, jasad Jacko dikebumikan tanpa otak. Keputusan pemeriksaan bedah siasat menjangkakan bahawa badan Jacko seperti kilang ubat kerana Jacko sering mengambil ubat tahan sakit seperti Demerol dan Metadon dengan dos yang berlebihan. Mungkin situasi itu adalah punca kepada kegagalan jantungnya untuk terus berdenyut.
Namun begitu, bermacam-macam persoalan bermain di kepala semua orang, terutama peminat-peminat beliau dari seluruh negara dan juga para wartawan. Jenazahnya masih belum dikebumikan selepas majlis 'memorial' Jacko di Staple Centre, dan dikhabarkan jenazahnya hanya disimpan di dalam bangunan kecil khas di kawasan tanah perkuburan Forest Lawn, Hollywood kerana para wartawan yang menjejaki kereta yang membawa keranda Jacko melihatnya menuju ke kawasan tersebut dari hotel berdekatan Bevery Hills. Sebahagian keluarga Jacko mahu jenazah ditanam di kawasan perkarangan rumahnya, iaitu di Neverland Ranch. Tetapi jawapannya belum terungkai selagi tiada gambaran kuburnya.
Lagi satu persoalan yang amat penting ialah kekeliruan terhadap status Jacko sebagai Muslim. Pada bulan Oktober tahun lepas, Jacko sudah memeranjatkan seluruh dunia apabila berita beliau sudah memeluk Islam. Satu-satu abangnya yang memeluk Islam, Jermaine Jackson juga mengakuinya. Jacko dikatakan telah mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan seorang imam di salah satu kawasan di Los Angelas. Ada berita mengatakan minat Jacko untuk menyelami agama Islam sejak 1986, iaitu ketika abangnya memeluk Islam. Namun begitu, rantaian berita tersebut tenggelam dan sudah tidak kedengaran lagi. Kelibat dan cara hidup Jacko sebagai Muslim juga seperti tidak nampak oleh umum walaupun beliau dikhabarkan sudah memeluk Islam. Walau apa pun, AG percaya ramai di kalangan Muslim seluruh dunia mengharapkan berita itu benar.
Tetapi jika benar Jacko sudah memeluk Islam, kenapa jenazahnya masih belum dikebumikan lagi? Adakah abangnya, Jermaine tidak menerangkan sesuatu mengenai kewajipan melakukan sedemikian kepada keluarganya supaya mereka tidak terlalu menyeksa jenazah tersebut. Atau orang di sekeliling Jermaine bukan memihak kepada Jermaine, maklumlah hanya Jermaine seorang yang Muslim. Tetapi Jermaine juga dilihat menyertai majlis 'memorial' di Staple Centre yang menyaksikan mereka mengadakan acara ucapan dan nyanyian di hadapan keranda Jacko, upacara tersebut tidak diamalkan oleh orang Muslim di mana-mana negara. Walaubagaimanapun, itulah Amerika.
Semasa hidup pun, Jacko seperti berada di dalam kegelapan walaupun mengecapi pelbagai anugerah dan pujian dari segenap masyarakat dunia. Beliau mencipta lagu yang bagus dengan lirik yang sedap didengar, mencipta tarian yang menjadi inspirasi kepada peminatnya dan juga tidak ketinggalan menggayakan fesyen yang pelbagai dalam persembahannya. Dari situ kita dapat lihat identiti seorang penghibur yang hebat sehingga disanjung di seluruh dunia. Namun, terjadi pelbagai cerita sepanjang kariernya sebagai penghibur, beliau tidak terlepas dari semua itu. Salah satu tekanan yang dihadapai oleh Jacko ialah tuduhan mencabul kanak-kanak dan setelah beberapa tahun dibicarakan, Jacko didapati tidak bersalah lalu terlepas dari tuduhan dan hukuman.
Dalam masa yang sama, Jacko sememangnya meminati kanak-kanak. Beliau seperti terpanggil untuk membela nasib kanak-kanak yang dilihatnya tidak mendapat kasih sayang secukupnya dalam semua aspek. Jika kita dapat dengar lagu-lagu pop Jacko seperti 'Beat It', 'Thriller', 'Smooth Criminal', 'Billy Jean' dan sebagainya, Jacko juga tidak terlepas untuk mengajukan lagu istimewa untuk kanak-kanak dan dunia yang semakin 'nazak'. Antaranya lagu seperti 'Heal The World' dan 'Earth Song'. Ada juga lagu yang diciptanya untuk menggambarkan tiada diskriminasi kaum dalam dunia ini dan mengamalkan perpaduan di antaranya, iaitu 'Black And White'. Dari situ, Jacko berminat untuk menubuhkan Yayasan "Heal The World" bagi membantu kanak-kanak yang teraniaya dan terbuang.
Begitulah sedikit coretan dan luahan dari salah seorang peminat Michael Jackson. Walaupun AG tidak pernah pergi ke konsert Jacko (Jacko pernah mengadakan konsert di Malaysia pada tahun 1996, ketika itu AG baru berumur 9 tahun dan tinggal di PP), apatah lagi untuk bersemuka dengannya, namun tidak keterlaluan untuk AG perkatakan bahawa AG banyak membesar dengan lagu-lagu Jacko. Ketika kecil, AG selalu menyanyikan lagu Michael Jackson, selalu menonton televisyen melihat video klipnya, mendengar lagu-lagunya di radio, walaupun tidak mengenali beliau terlalu mendalam. AG menganggap Jacko sebagai penghibur terbaik di dunia, seorang 'Raja Pop' yang tiada tolak bandinganya dalam dunia ini, dan juga seorang yang mencetuskan fenomena dan misteri dalam satu masa dalam dunia ini.
Selamat tinggal, Michael Jackson.
Saturday, July 4, 2009
Doakan Daku
Dah berminggu-minggu blog ini tidak terusik namun sebenarnya pernah dikunjungi oleh tuannya, dengan niat untuk melihat perkembangan kepopularan blog ketika tidak diupdate. Maklum lah dalam tempoh tersebut, AG amat sibuk menyiapkan tesis dan terlibat dengan beberapa program penting di kampus. Walaupun tidak terlibat secara langsung, namun kudrat dan kepakaran masih ditagih oleh segelintir rakan-rakan dalam pelaksanaan program tertentu.
Tetapi ada juga beberapa keadaan yang tidak berapa menyenangkan diri AG dalam masa yang sama. AG terpaksa mengharungi keadaan-keadaan sebegini, tetapi tidak pasti sama ada ianya hanya dianggap proses menyenangkan hati mereka atau menyenangkan hati sendiri. Secara jujurnya, memang AG tidak berminat dan berselera dalam mengendalikan masalah yang dicipta atau tercipta ini. Namun, ianya sudah ketentuan, seolah-olah seperti mengajar erti kehidupan kepada AG, dalam masa yang sama hanya melengkapkan perjalanan hidupku ini
Berbalik kepada topik asal, alhamdulillah AG panjatkan kepada Ilahi, kerana kajian tesisku sudah siap dan selamat dihantar, tetapi ianya masih belum mencapai proses terakhir sebelum pemarkahan diberi. AG belum melalui proses viva ataupun pembentangan. Mungkin minggu depan AG akan dipanggil oleh pihak fakulti untuk berbuat demikian. Walaubagaimanapun, AG sudah bersedia menghadapinya.
Tetapi AG belum lagi pulang ke pangkuan keluarga sejak bulan Disember tahun lepas. Semata-mata untuk menyiapkan kerja yang terbengkalai, masaku dengan keluarga amat terbatas. Jika AG pulang ke rumah dalam tempoh sehari dua, ianya seperti memenatkan diri. Bukannya AG mahu berlagak dan derhaka, tetapi ungkapan itulah yang diucapkan oleh ibu bapaku. Namun, niat tetap ada. Tetapi belum terlaksana kerana banyak perkara pelu diselesaikan.
Buat masa ini, ketika entri ini ditulis, AG hanya menunggu untuk menjayakan viva bagi tesis AG, menyelesaikan urusan akademik bagi memudahkan proses konvokesyen dan sesudah itu baru mahu pulang ke rumah sebelum majlis konvokesyen pada bulan Ogos nanti. Pada bulan tersebut juga, ada beberapa perkara yang AG kena lakukan dan juga perlawaan yang AG perlu hadiri. Apa-apa pun, masa menentukannya. Tunggu sahaja. AG cuba untuk berusaha ke arah matlamat yang diingini. Doakan kejayaan AG. Terima kasih.
Tuesday, June 16, 2009
Doakan Isteri YB ADUN Pulau Manis Cepat Sembuh
Park & Ride UKM
PERKHIDMATAN LETAK DAN NAIK: Dimaklumkan bahawa pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan melaksanakan perkhidmatan Letak dan Naik di lingkungan pertama kampus Bangi mulai pada 1 Julai 2009. Perkhidmatan ini bertujuan memberi kemudahan kepada kakitangan, pelajar dan pelawat untuk masuk dan berurusan di lingkungan pertama kampus Bangi.
TEMPAT LETAK KENDERAAN: Kakitangan, pelajar dan pelawat yang menggunakan perkhidmatan Letak dan Naik boleh meletak kenderaan mereka di kawasan tempat letak kereta umum seperti DECTAR, Panggung Seni dan Masjid dan kawasan letak kereta berhampiran Wisma Aman.
LALUAN BAS: Laluan bas perkhidmatan Letak dan Naik bermula dari stesen Letak dan Naik di kawasan berhampiran Wisma Aman melalui Pintu Masuk Pavillion, Stadium Universiti, Kolej Rahim Kajai, Kolej Dato’ Onn, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, PUSANIKA, Perpustakaan Tun Seri Lanang, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Fakulti Sains dan Teknologi, Kolej Ungku Omar, Pusat Kesihatan, Kolej Burhanuddin Helmi, Masjid, Fakulti Pengajian Islam dan keluar melalui Pintu Utama untuk kembali ke stesen Letak dan Naik. Sila klik untuk melihat laluan bas. Bas akan berhenti untuk mengambil dan menurunkan penumpang di tempat perhentian yang ditetapkan. Sila klik untuk melihat tempat hentian bas.
MASA PERKHIDMATAN: Perkhidmatan bas yang disediakan adalah secara berjadual iaitu pada hari bekerja (Isnin hingga Jumaat) mulai jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam dengan kekerapan 7 minit pada waktu sibuk dan 20 minit pada waktu biasa. Waktu sibuk adalah pada 7.00 pagi hingga 8.30 pagi dan 4.30 petang hingga 6.00 petang. Sila klik untuk melihat jadual perjalanan bas.
PERCUBAAN PERKHIDMATAN LETAK DAN NAIK: Percubaan perkhidmatan Letak dan Naik akan diadakan pada 25, 26, 29 & 30 Jun 2009. Semua warga UKM dijemput untuk mengguna dan membiasakan perkhidmatan Letak dan Naik pada tarikh tersebut.
Kepada para pembaca dari UKM yang mengunjung laman ini, anda boleh memberi sebarang komen terhadap sistem baru yang diperkenalkan oleh pengurusan UKM ini sebagai platform bagi mewujudkan persekitaran kemudahan yang sistematik dan berkesan untuk semua warga universiti. Walaupun AG bukan seorang yang berkuasa dalam hal ini, namun AG berhak melihat dan memantau keadaan perubahan yang bakal dilakukan ini dengan berkongsi pendapat dari pelbagai pihak demi kebaikan kita semua.
Sunday, June 14, 2009
Tempoh Kursus KPLI Dilanjutkan
Kementerian Pelajaran Malaysia akan memanjangkan tempoh pengajian Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) selama enam bulan kepada setahun enam bulan, bermula pengambilan Januari 2010. Keputusan itu diambil berikutan desakan pelbagai pihak selain mengakui tempoh yang diamalkan selama ini kurang berkesan bagi melahirkan guru berkualiti.
Pelaksanaan lanjutan tempoh pengajian itu tidak sempat untuk diterapkan dalam sesi kemasukan yang terbaru kerana pengambilan akan datang adalah pada Julai tahun ini. Jika boleh, mahu dilakukan segera tetapi ianya agak mustahil kerana cadangan yang baru berada dalam peringkat akhir memuktamadkan kertas kerjanya sebelum dibentangkan bagi tindakan kementerian, boleh dikira sudah terlewat.
Proses lanjutan tempoh itu perlu dan mesti dilaksanakan dan mempunyai rasional kukuh. Cuma ada beberapa perkara perlu diperhalusi sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya. Ada juga beberapa pihak yang berkaitan mencadangkan lanjutan tempoh ini patut dipanjangkan kepada dua tahun, tetapi ia tidak relevan kerana terlalu mengambil masa bakal guru. Jika tempoh KPLI terlalu lama, mungkin graduan universiti tidak berminat dengan kerjaya perguruan kerana jangka masa sama sebenarnya mencukupi untuk mereka menyambung pengajian ke peringkat sarjana.
Seperti umum sedia maklum dengan situasi graduan, bahawa bidang perguruan menjadi tempat longgokan graduan menganggur ketika ini. Ramai di antara mereka akan memilih jalan terakhir untuk menjadi guru dengan memilih KPLI ataupun DPLI. Tetapi seperti yang ditegaskan oleh kementerian, sistem tapisan bakal guru bagi mengikuti KPLI ini cukup ketat. Peraturannya mudah, semua pemohon KPLI perlu lulus dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 2.75 ke atas pada peringkat sarjana muda sebelum dipanggil mengikuti ujian khas pemilihan guru.
CGPA itu bukan kecil, tetapi juga bukan terlalu tinggi. Ini bermakna pemohon untuk KPLI terdiri di kalangan antara yang terbaik di universiti. Apabila menduduki ujian pula, banyak perkara perlu dinilai bagi melihat kesungguhan pemohon untuk menjadi guru. Jika melepasi ujian, ada pula peringkat ketiga iaitu temu duga yang membolehkan penemuduga menilai secara terperinci sahsiah dan karakter pemohon.
Kini, dengan adanya 80,000 permohonan tahun ini dan hanya 5,132 pengambilan sahaj diperlukan, persaingan itu pasti sengit dan calon terpilih pastinya antara terbaik. Maka, rakan-rakan yang berkelayakan boleh mencuba profession perguruan dengan menerima kursus yang berkesan dalam tempoh yang sesuai. Tempoh enam bulan hanya dapat melahirkan guru ekspress yang mempunyai daya ketahanan dan ilmu pengetahuan yang sederhana. Mungkin ini adalah masanya untuk membentuk guru yang terbaik, selain menambah jumlah guru lelaki dan juga di kalangan bukan Melayu.
Saturday, June 13, 2009
House Yang Popular
Friday, June 12, 2009
KPDNHEP Bertukar Nama Kepada KPDNKK
Sektor koperasi diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) dimansuhkan pada Mac lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Tetapi statusnya kurang jelas.
Berikutan itu, KPDNHEP kini dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkuat kuasa serta-merta. Nama baru kementerian itu diumumkan oleh Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Jabatan Penyiaran Pahang di Kuantan pada 11 Jun 2009.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, nama baru kementeriannya dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada mesyuarat Kabinet semalam. Kabinet bersetuju meletakkan nama koperasi sejajar dengan perubahan nama KPDNHEP itu. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Koperasi Bela Rakyat (Kobera) di Jabatan Penyiaran Pahang.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa penstrukturan akan berlaku termasuk penggunaan logo baru yang akan diperkenalkan oleh KPDNKK. Perubahan-perubahan akan diperkenalkan secara berperingkat-peringkat. Mengenai logo baru, beliau mungkin akan mengadakan pertandingan mencipta logo tersebut.
Sumber dipetik daripada Utusan Malaysia.
Thursday, June 11, 2009
Kualiti Udara Semakin Teruk

Wednesday, June 10, 2009
BI Wajib Lebih Munasabah Daripada PPSMI
Pelbagai pihak menyokong langkah mewajibkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI) untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh, dan menyifatkan usaha itu lebih munasabah dilaksanakan berbanding dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Bagaimanapun, sebaiknya kajian terperinci dapat dilakukan supaya hasrat murni meningkatkan penguasaan bahasa kedua itu dapat dilaksanakan secara tersusun dan membawa manfaat kepada semua pelajar
Langkah itu dilihat sebagai satu usaha ke arah meningkatkan kualiti pelajar dari segi penguasaan Bahasa Inggeris, selain usaha transformasi drastik dalam sistem pendidikan negara. Namun, perkara yang harus ditekankan bagi memastikan cadangan berkenaan membuahkan hasil diharapkan ialah meningkatkan kualiti guru yang mengajar mata pelajaran itu.
Untuk rekod, ketika ini calon SPM tidak disyaratkan lulus Bahasa Inggeris walaupun mata pelajaran itu diajar sebagai mata pelajaran di sekolah, selain diiktiraf sebagai bahasa kedua di negara ini, namun semua calon dikehendaki lulus dalam Bahasa Malaysia sebelum dikeluarkan sijil penuh.
Kerajaan perlu melihat beberapa perkara sebelum mengambil langkah berkenaan, termasuk membuat kajian keberkesanan bahasa Inggeris yang dilaksanakan selama ini di sekolah. Kerajaan juga perlu meneliti kualiti tenaga pengajar bahasa Inggeris dan kemudahan disediakan serta pelajar juga perlu diberi peluang untuk memperbaiki keputusan mereka sekiranya gagal dalam mata pelajaran itu.
Yang pasti, Kementerian Pelajaran tidak akan melaksanakan langkah itu secara terburu-buru kerana sebarang perubahan dalam sistem pendidikan negara memerlukan kajian mendalam. Dalam konteks lain pula, guru perlu dipastikan bersedia sepenuhnya dalam perubahan ini bagi memastikan akhirnya pelajar mendapat manfaat secara menyeluruh.
Banyak pihak berharap cadangan itu mestilah disusuli dengan persediaan dari segi guru yang berkualiti selain kakitangan sokongan dan alat bantuan mengajar yang mencukupi bagi memastikan tidak timbul masalah apabila ia dilaksanakan. Kementerian juga harus mengambil langkah berhati-hati sebelum melaksanakan cadangan itu kerana tujuan pelaksanaannya tidak akan tercapai tanpa persediaan infrastruktur yang mencukupi.
Dilihat pula dalam pengisian subjek ini, Bahasa Inggeris sekarang diajar tanpa penekanan kepada tatabahasa, sebaliknya hanya mempelajari `Communicative English'. Mata pelajaran ini diajar menggunakan kaedah `Communicative English' bagi memantapkan penggunaan bahasa kedua itu di kalangan pelajar. Sebenarnya kaedah `Communicative English' telah digunakan sejak awal 1980-an bagi menggantikan kaedah pembelajaran tatabahasa, sekali gus meningkatkan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perhubungan. Tetapi kaedah sedia ada berbeza dengan kaedah terdahulu yang menekankan pemahaman tatabahasa berbanding komunikasi, tetapi kaedah kini adalah sebaliknya dengan menekankan komunikasi. Perkara ini juga perlu diambil perhatian.
Secara kesimpulannya, ramai pihak dari pelbagai agensi dan pertubuhan menyokong cadangan pelaksanaan wajib lulus BI dalam SPM berbanding meneruskan pelaksanaan PPSMI dalam dasar pendidikan negara, yang sudah dianggap seperti salah satu daripada agenda penting negara.
Penjenayah Paku
Tuesday, June 9, 2009
Sejenak Petang di Teluk Cempedak
Pergi sana tidak mandi, hanya bersiar-siar selama sejam lebih je, setelah penat berkhidmat untuk masyarakat dan pelajar di SMK Lepar, Pekan. Tarikh pada gambar-gambar tersebut adalah tidak tepat kerana mungkin tuan punya kamera tidak set tarikh dengan tepat. Kredit kepada kamera Shahril.
Mesti Lulus BI Dalam SPM
Semalam Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan setiap calon pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun ini mesti lulus dalam subjek Bahasa Inggeris. Selain Bahasa Malaysia yang sememangnya dikehendaki lulus, kini kementerian bakal mewajibkan status lulus untuk Bahasa Inggeris sebelum kementerian mengeluarkan sijil untuk calon.
Dulu AG tidaklah bijak dan pandai dalam subjek BI ini, cuma dalam gred 6C aje. Lulus la tu. Status lulus diterima sehingga gred 8E. Setakat ini sijil SPM akan dikeluarkan dan diterima oleh calon SPM yang masih mendapat GAGAL dalam BI, bukan sekadar BI sahaja malah mana-mana subjek pun, tetapi dalam sijilnya tidak akan tercatat dan tertulis subjek yang gagal itu. Mungkin mulai tahun ini, dengan permulaan subjek Bahasa Inggeris, sijil tidak akan dikeluarkan langsung jika calon pelajar itu gagal dalam subjek BI itu.
Maka dengan itu, subjek dalam konteks bahasa amat penting. Tidak kira Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Kedua-dua subjek ini dianggap sebagai pemangkin dan penggerak kepada kemajuan subek lain yang diambil. Lagipun, kedua-dua subjek ini juga diambil kira sebagai lesen untuk memohon kerja selepas SPM bagi pelajar-pelajar yang memilih alam pekerjaan selepas tingkatan 5.
Nampaknya, banyak perubahan yang bakal dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri kita ini. AG amat tertarik dan menyokong tindakan dasar yang dilakukan oleh TPM ini. Bukan sekadar mewajibkan LULUS dalam Bahasa Inggeris, tetapi sebelum ini ada juga cadangan yang terpacul dari mulut TPM ini. Contohnya, isu pengambilan bilangan subjek dalam SPM. TPM menyarankan supaya calon pelajar tidak terpengaruh untuk mengambil bilangan subjek yang banyak ketika mendaftar dalam SPM. Bilangan subjek yang diambil tidak menggambarkan kebijaksaaan pelajar itu secara keseluruhan. Tidak semestinya seorang pelajar yang dapat banyak A dalam banyak mata pelajaran yang diambilnya itu boleh dikira dia adalah pandai. Malah, TPM mungkin akan menetapkan cadangan ini dalam bentuk syarat perundangan dalam penetapan pendaftaran SPM supaya pelajar tidak mengambil terlalu banyak subjek dalam peperiksaan penting itu. Jenis sekolah sahaja yang dapat menentukan bilangan subjek peperiksaan itu kepada pelajar-pelajarnya, contohnya sekolah agama mungkin ada subjek tambahan yang mesti diambil, sekolah teknik ada subjek tertentu yang mesti ditambah dan sebagainya.
Akan tetapi ketika ini tindakan asas TPM hanya untuk mengurangkan bilangan subjek teras dalam SPM, iaitu daripada 6 kepada 4 subjek sahaja. Apa yang dibicara oleh AG hanya mengenai kawalan subjek elektif atau pilihan. Mungkin cadangan oleh pihak TPM dan kementerian agak keterlaluan dengan mengecilkan bilangan subjek teras, kerana subjek teras yang sedia ada sekarang sudah cukup mesti dan wajib untuk diambil. BM, BI, Matematik, Pendidikan Islam/ Moral, Sejarah dan Sains. AG faham akan kehendak kementerian untuk mengehadkan calon mendaftar sejumlah 10 mata pelajaran dalam SPM, tetapi jangan menukarkan status teras kepada elektif kepada dua lagi subjek teras itu. Mungkin ada cara lain, seperti yang AG canangkan di perenggan di atas. Kita boleh mengawal subjek elektif untuk diambil. Untuk sekolah aliran biasa, bilangan 10 subjek boleh tercapai, tetapi sekolah agama, sekolah teknik dan lain-lain mungkin bilangan subjek elektifnya banyak dan perlu diambil.
Itu baru dua isu dalam peperiksaan. Belum terfikir lagi isu cadangan pemansuhan sekolah vernakular, iaitu sekolah jenis kebangsaan, tidak kira Cina atau Tamil. Cadangan itu mahu dilakukan untuk merealisasikan konsep 'Satu Malaysia' yang dicanangkan oleh PM Malaysia. Lagipun isu ini juga sudah lama terbit oleh segelintir orang yang mencadangkan perkara yang sama, mungkin kali ini bakal dijalankan dalam beberapa tahun ini. Dengan adanya sekolah vernakular yang menggunakan bahasa pengantar selain Bahasa Malaysia, ianya tidak akan membentuk masyarakat majmuk yang saling menghormati dan bersatu dalam konteks perpaduan yang diharap-harapkan.
Isu utama yang ditekankan oleh TPM ialah dasar PPSMI yang telah dijalankan di semua sekolah sejak 5 atau 6 tahun lalu. Laporan pertama oleh pasukan penyelidik telah dibentangkan kepada TPM tetapi beliau tidak berpuas hati dengan laporan tersebut. TPM amat serius dalam mengendalikan isu ini kerana beliau mahu membuat keputusan yang tepat terhadap dasar pendidikan ini di samping dapat mengawal sentimen dan perasaan masyarakat luar yang mahu ianya dimansuhkan demi menyelamatkan maruah bahasa kebangsaan.
Semoga TPM dapat membawa perubahan dalam sistem pendidikan negara. AG menyokong tindakan TPM kita ini, yang penting AG mahu melihat perubahan dalam konsep orientasinya. AG teringin melihat konsep pendidikan negara tidak berorientasikan peperiksaan sahaja. Mungkin boleh berorientasikan praktikal, namun peperiksaan tidak akan diabaikan malah mesti diadakan. Apa pendapat dan komen anda?! Mungkin cadangan dan coretan AG ada salah silapnya.
TPM selaku Menteri Pelajaran Malaysia serta Kementerian Pelajaran Malaysia mengalu-alukan komen dan reaksi dari semua pihak terutama masyarakat umum tentang cadangan kewajipan lulus bahasa Inggeris dalam SPM. Sila layari laman web KPM.






















